Friday, 18 November 2011

UPSR terbaik tempoh 4 tahun

PUTRAJAYA 17 Nov. – Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN). Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, daripada 485,160 pelajar yang menduduki peperiksaan, seramai 46,012 calon mencatat keputusan cemerlang mendapat semua A.



Menurutnya, jumlah tersebut mencatat penurunan berbanding tahun lepas iaitu 48,327 calon. Kata beliau, peratusan calon yang mendapat pencapaian baik iaitu minimum gred C (tidak termasuk semua A) bagi semua mata pelajaran yang telah diduduki meningkat daripada 54.38 peratus pada tahun 2010 kepada 55.4 peratus tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 1.07 peratus.

“Namun, pencapaian calon cemerlang semua A telah menurun sedikit (0.54 peratus) iaitu daripada 10.02 peratus pada tahun lalu kepada 9.48 peratus tahun ini. “Peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum semua D atau E atau kombinasi kedua-duanya telah berkurangan sebanyak 0.51 peratus iaitu daripada 3.39 peratus kepada 2.88 peratus tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Abd. Ghafar, sejumlah 497,691 murid mendaftar sebagai calon UPSR yang merangkumi 489,101 (98.3 peratus) calon sekolah Kementerian Pelajaran dan 8,590 (1.7 peratus) calon sekolah swasta. Kata beliau, pencapaian calon cemerlang bandar dan luar bandar pada tahun ini masing-masing mengalami penurunan sebanyak 0.37 peratus dan 0.72 peratus. Bagaimanapun, peratusan calon yang mendapat pencapaian baik di bandar dan luar bandar, masing-masing meningkat sebanyak 0.49 peratus dan 1.70 peratus.

Ini bermakna, katanya, peningkatan pencapaian baik bagi calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon bandar iaitu 1.21 peratus. Abd. Ghafar berkata, pada tahun ini, peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum telah berjaya dikurangkan terutamanya di luar bandar dengan pengurangan sebanyak 0.68 peratus berbanding di bandar sebanyak 0.38 peratus.
“Penurunan peratusan ini menunjukkan bahawa peningkatan tahap penguasaan minimum calon di luar bandar adalah lebih baik berbanding calon di bandar.

“Peningkatan pencapaian calon secara keseluruhan dapat juga dilihat melalui nilai GPN yang mengurang iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.02 bagi luar bandar. Jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar dirapatkan sebanyak 0.01,” katanya. Bagi pencapaian calon berkeperluan khas pada tahun ini, seramai 59 orang dengan calon yang mendapat pencapaian cemerlang meningkat sebanyak 0.34 peratus iaitu pertambahan seramai lima orang. Sejumlah 17 calon yang mendapat pencapaian cemerlang terdiri daripada enam calon rabun, seorang pekak, seorang spastik dan sembilan lagi lain-lain kecacatan.

Thursday, 17 November 2011

Jom kita mengenali "Jenis-jenis Ayat"


Assalamualaikum....

Bahasa Melayu mempunyai pelbagai jenis ayat untuk menyatakan maksud yang sama. Jenis-jenis ayat ini akan digunakan pada situasi dan dibaca menggunakan itonansi yang berbeza. Terdapat empat jenis ayat iaitu ayat penyata, ayat perintah, ayat tanda dan ayat seru.

Ayat Penyata
Ayat yang menyatakan sesuatu atau menerangkan sesuatu cerita, benda atau kejadian dan sebagainya.


Contoh:
1. Warna kegemaran saya ialah biru.
2. Ibu sedang memasak di dapur.


Ayat Perintah
 Untuk menyatakan sesuatu yang berupa perintah, larangan, suruhan, permintaan, ajakan, silaan, doa, dan harapan.

Contoh:
1. Silalah duduk.
2. Jangan buang sampah merata-rata.
3. Harap-harap hari ini tidak hujan.


Ayat Tanda
Ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu perkara, tempat, benda, manusia, binatang dan sebagainya.

Contoh:
1. Berapakah umur awak?
2. Apakah nama sekolah awak?
3. Bagaimanakah kemalangan itu berlaku?


Ayat Seru
Digunakan untuk melahirkan perasaan takut, marah, hairan, terkejut, sajit dan sebagainya. Perkara paling dalam ayat seru ini mempunyai tanda seru (!) dan biasanya terletak di akhir ayat. 

Contoh:
1. Amboi, cantiknya kereta awak!
2. Aduh, peningnya kepala aku!

Sekadar hiasan....

Tuesday, 15 November 2011

Guru kerja 9 jam bermula 2012? Apa pendapat anda..


Nampaknya selepas ini sekitar 5,000 guru dari 104 buah sekolah akan menjadi “bahan eksperimen” kepada sistem waktu bekerja iaitu guru kerja 9 jam mulai Januari 2012 meliputi 4 negeri seperti Pahang, Melaka, Johor & Sarawak. 
Pelaksanaan guru kerja 9 jam :
  • Tempoh percubaan 6 bulan di Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak untuk diperhalusi Kementerian Pelajaran Malaysia
  • Tempoh percubaan bagi waktu guru kerja 9 jam di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan.
Walaubagaimanapun Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak bersetujuguru kerja 9 jam ini kerana : dengan pelaksanaan
  • Mana-mana guru kerja 9 jam nanti dikhuatiri akan lebih tertekan selepas terpaksa mengikut perubahan waktu kerja baru ini yang akan menganggu tugas mereka di sekolah
  • Pelaksanaan dasar guru kerja 9 jam sama seperti seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah
  • Guru ada banyak tugasnya. Mereka bukan sahaja pendidik malah guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya.
  • Ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan
Kami memang akui cabaran menjadi guru sekarang tidak seperti dahulu. Dalam banyak-banyak point yang diberikan NUTP, kami lebih tertarik kepada multitasking yang perlu guru lakukan sekarang ini bukan setakat menjadi pendidik sahaja. Ya….memang benar, boleh sahaja meminta guru-guru kerja 9 jam seperti penjawat awam yang lain, tetapi apakah kualiti tumpuan yang mampu guru berikan sama seperti sebelum daripada pengenalan pelaksanaan guru kerja 9 jam ini?
Kerana apa yang penting bagi kami adalah kualiti tumpuan guru semasa mengajar murid-muri di sekolah bukannya kuantiti yang ada.
Mungkin ada yang mengatakan mereka adalah guru, jadi kenalah berkorban. Ya…benar sama sekali. Tetapi kita jangan lupa mereka tetap manusia yang ada limitasi daripada segi tenaga dan emosinya.

Walaubagaimanapun ini masih tempoh percubaan bukan, rangka sesuatu dasar sebaiknya. Jangan kerap sangat “bertukar dasar dan jadikan guru-guru ini bahan eksperimen” setiap kali tukar menteri, pening nanti guru-guru di sekolah. Kadang-kadang benda yang mudah jadi semakin sukar. Jadi, buat kajian dengan sebaiknya.

Akhirnya, seperti yang kami katakan tadi disebalik implementasi guru kerja 9 jam ini. Yang penting, prestasi & kualiti guru-guru ni boleh ditingkatkan bukan menjadikan mereka tertekan dan hilang tumpuan dalam tugas mereka.
 

Kata Ganti Nama Diri

Assalamualaikum...

Pembelajaran hari ini adalah tentang Kata Ganti Nama Diri. Kata nama diri terbahagi kepada tiga iaitu kata ganti diri pertama, kedua dan ketiga.

Kata Ganti Nama Diri:

Pertama - Kata yang digunakan untuk mengantikan diri orang yang bercakap

Kedua - Digunakan ketika kita berbual dengan seseorang

Ketiga - Merujuk kepada orang yang ketiga

 
Kata Ganti Nama Diri
Penggunaan
Contoh ayat

Pertama
Aku, saya, hamba, patik, beta, kami, kita.

Menggantikan diri orang yang bercakap

Saya suka makan masakan emak.

Kedua
Anda, awak, engkau, tuanku, kalian, kamu.

Berbual dengan seseorang

“Kenapa awak tidak hadir ke sekolah semalam?”


Ketiga
Baginda, beliau, mereka, dia dan ia.

Merujuk kepada orang yang ketiga

Beliau seorang dermawan kerana suka menderma kepada orang yang memerlukan.

  

Sunday, 13 November 2011

Seronok membaca bersama upin dan ipin


Assalamualaikum...

Entry kali ni rasa nak membaca sambil bercerita..sebelum tue nak tanya dulu sape yang TAK kenal upin dan ipin? haa...ada ke yang tak kenal..kalau tak kenal tu memang musykil la sedikit.. mungkin ada le kot yang tak kenalkan..tapi saya percaya boleh dikatakan ramai yang mengenali watak animasi Upin dan Ipin yang ditayangkan di TV9. Saya pon peminat Upin dan Ipin jugak..hehe..

Saya suka menonton kartun animasi ini salah satunya adalah kerana watak upin dan ipin yang sangat comel. Keduanya kerana nilai murni yang ditunjukkan di dalam cerita ini. Kalau kita perhatikan di setiap episod cerita akan diselitkan nilai-nilai murni seperti menghormati orang yang lebih tua, suka menolong kawan yang dalam kesusahan, suka membaca dan banyak lagi.


Jom kita membaca sambil bercerita bersama Upin Ipin dan kawan-kawan...



Pembelajaran tatabahasa

Sistem bahasa terdiri daripada tatabahasa, sistem ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata dan peribahasa. Pelaksanaan sistem bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia membolehkan murid menggunakan dan mengamalkan bahasa Melayu baku. Penerangan bagi perkara tersebut dinyatakan di bawah.

Penguasaan tatabahasa pada tahap 1 adalah sangat penting bagi pelajar untuk memahami asas Bahasa Melayu. Contohnya penggunaan kata nama am dan khas, jenis ayat dan pembinaan ayat. Sebutan dan intonasi diajarkan supaya murid dapat menyebut perkataan dan ayat dengan betul serta memahami intonasi dan jeda. Kemahiran yang ditekankan ialah kebolehan mengenal pasti dan membezakan pelbagai aspek dalam sebutan dan intonasi supaya murid dapat menyampaikan maksud dengan tepat.

Dalam P&P, guru memainkan peranan penting untuk menyampaikan pembelajaran tatabahasa yang dapat menarik perhatian murid. Teknik pengajaran tatabahasa yang menarik dapat membantu murid memahami topik yang diajar. Selain menggunakan kaedah "Chalk dan Talk", penggunaan video atau alat bantu mengajar lain dapat membantu menarik minat murid untuk memahami dan tidak berasa bosan ketika belajar. Video yang mempunyai gambar menarik dan warna yang terang dapat menarik perhatian murid untuk fokus dalam pembelajaran.



Wednesday, 9 November 2011

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

 
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usahaini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara.

Topik : Bahasa Melayu

Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan sekolah menengah. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah memberikan tumpuan kepada kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar utama, dan merupakan mata pelajaran teras yang wajib dipelajari di peringkat sekolah rendah.



Saturday, 5 November 2011

Pemansuhan PPSMI

Mansuh kekal

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
 
PUTRAJAYA: Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah pada 2021, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, dengan keputusan itu pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah kekal dan kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula dasar berkenaan seperti dituntut sesetengah pihak.

“(Namun) selepas mengambil kira pandangan ibu bapa, Kabinet memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort (kumpulan) PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia sepenuhnya atau kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki tingkatan satu tahun hadapan. “Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (masih) dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat tingkatan lima,” katanya, pada sidang media, di sini, semalam.
 

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberikan taklimat mengenai perkara berkenaan kepada Pengarah Pelajaran Negeri dan Pegawai Pelajaran Daerah dari seluruh negara.

Keputusan memansuhkan PPSMI dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI) dibuat kerajaan sejak 2009, namun dalam tempoh peralihan dasar itu pendekatan ‘soft-landing’ iaitu peralihan secara lembut dilaksanakan.